Header Ads

Mengejutkan! Dulunya Bekas Pemain Kebangsaan Kini Dah Jadi Gelandangan


Dipetik dari Utusan, bekas pemain bola sepak kebangsaan ini dahulunya agak terkenal dalam era 90an tapi kini terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan. Begitulah nasib lelaki berusia lewat 40an ketika ditemui di kaki lima Jalan Hang Lekiu baru-baru ini.

Dengan hanya berbekalkan beg berisi pakaian,  bekas pemain pertahanan yang turut pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu ditemukan sedang menyusun kotak untuk dijadikan alas sebelum melelapkan mata di kawasan berkenaan yang turut menjadi lokasi penginapan gelandangan di ibu kota ini.

Walaupun kelihatan agak lesu dan keletihan, lelaki tersebut masih mampu mengukir senyuman ketika disapa dan terus berkongsi tentang kisah hidupnya. Kisah duka kehidupannya bermula selepas dia disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009 sebelum dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak tiga tahun lalu.

Penyakit tersebut menjadi kekangan kepadanya untuk mencari rezeki, malah mengakui pernah menjadi buruh selama setahun namun tidak dapat bertahan atas faktor kesihatan.

"Simpanan semakin ber­kurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), saya tidak mampu menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini."


Malah anak jati Pulau Pinang ini turut menjelaskan, yang dia hanya menjadi gelandangan buat sementara sehingga selesai sesi rawatan jantungnya.

"Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan). Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang," katanya.

Jelasnya lagi walaupun hidup sebagai gelandangan, dia masih manpu untuk mandi, solat dan makan. Malah dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Alhamdulillah, sepanjang saya di sini, saya masih mampu menguruskan diri dengan baik termasuk menggunakan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri (mandi) serta bersolat. Setiap hari, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan akan datang menyumbangkan makanan, minuman, pakaian serta wang tunai kepada setiap gelandangan."

Apabila di tanya mengenai keluarga, beliau mengaku seudah bercerai dan memiliki tiga orang cahaya mata yang masih belajar. Salah seorang dari mereka dikatakan sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Buat masa ini saya tinggal di rumah kakak di kampung, ketiga-tiga anak saya tidak tahu saya hidup begini, saya tidak mahu mereka tahu kesusahan saya, takut mereka susah hati pula," katanya sebak.

Ini memeng satu berita yang tidak dijangka. Iyalah siapa sangka dulunya dia seorang yang terkenal dan lincah di padang kini terpaksa hidup sebagai gelandangan. Diharapkan semoga proses pembedahan berjalan dengan lancar hendaknya.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.