Header Ads

Kepayahan Stan Lee Mencipta Watak Superhero Terkenal


Mesti korang kenal dengan pencipta barisan adwira untuk siri komik Marvel? Dilaporkan Stan Lee telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 95 tahun, lapor anak perempuannya semalam (12 November 2018). Nampaknya lepas ini tiada lagi cameo watak Stan Lee di dalam filem Marvel akan datang.

Menurut People, punca kematian Lee masih tidak didedahkan dan beliau difahamkan telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Cedars-Sinai selepas dikejarkan ke sana dengan ambulans dari kediamannya di Hollywood Hills awal pagi semalam.


Lee yang meninggalkan sebuah legasi adwira komik terbesar ini mungkin takkan memasuki industri tersebut kalau tak kerana kegigihannya dalam mencipta karekter paling sukses dalam sejarah, Spider Man. Ini kisah sukses Stan Lee yang ramai tak tahu mengenainya…

Menurut The Insider, dalam satu temubual pada 2011, Lee menceritakan pengalaman hidupnya apabila bapa Lee terpaksa bersusah payah mencari kerja semasa era Great Depression di Amerika Syarikat.

"Disebabkan ingin membantu (keluarga), sebab masalah terbesar kami ialah ‘bagaimana untuk mendapatkan wang bayar sewa rumah setiap bulan’… saya telah mula bekerja ketika saya di sekolah menengah lagi. Secara tiba-tiba saya tak sengaja terlibat dalam dunia penulisan," kata Stan Lee.


Pada usia 17 tahun, Stan Lee kemudian bekerja sebagai pembantu di Timely Comics yang dimiliki suami sepupunya. Pada saat itu, dia langsung tak terfikir untuk menulis komik kerana tiada siapa pun yang mengambil serius tentang jenis penulisan seperti ini.

Dari pembantu biasa, Stan Lee diangkat menjadi penulis komik. Menurutnya, idea untuk mencipta watak Spider Man bermula apabila Lee melihat seekor lalat melekat di dinding dan sekaligus dia terfikir untuk cipta superhero dengan kemampuan yang sama.

"Flyman tak cukup dramatik, apa lagi yang ia boleh lakukan? Mosquito man? Lalu saya berkata: Spider Man! Ini kedengaran sangat dramatik!" kata Lee.


Dari situ Lee kemudian mencipta watak Peter Parker sebagai seorang remaja yang mempunyai banyak masalah peribadi. Namun apabila idea itu dibawa kepada penerbitnya, dia berkata: 

"Stan, itu idea terburuk yang saya pernah dengar!"

Meskipun dikritik watak superhero mestilah seorang yang dewasa dan free daripada macam-macam masalah, Lee beruntung kerana cerita Spider Man akhirnya diizinkan masuk ke dalam edisi terakhir sebuah buku yang kemudian menjadi hit.

"Sekadar untuk enjoy dan keluarkannya daripada fikiran saya, saya tempatkan Spider Man pada edisi terakhir sebuah buku dan melupakannya. "


"Sebulan kemudian, setelah semua angka penjualan masuk, orang atasan saya datang ke pejabat dan berkata: ‘Ingat lagi karekter Spider Man yang sangat kita berdua sukai? Mari kita jadikannya sebagai karekter bersiri’."

"Dan begitulah kisah Spidey lahir," ceritanya sambil bertepuk tangan dan ketawa.

Pemergian Stanley Martin Lieber yang dilahirkan pada 28 Disember 1922 ini sudah pastinya diratapi jutaan fans seluruh dunia terutamanya mereka yang menantikan kemunculan filem Avengers 4 pada tahun hadapan.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.