Header Ads

Kerana Degil, Waran Tangkap Jamal Yunos Dikeluarkan

Kerana Degil, Waran Tangkap Jamal Yunos Dikeluarkan

Tindakan Jamal Yunos melarikan diri dari tahanan ketika dirawat akibat sakit belakang di Hospital Pakar Ampang Puteri membawa padah apabila beliau kini sedang diburu polis.

Sebelum ini, tersebar sebuah video menunjukkan luahan Jamal di dalam ladang kelapa sawit. Beliau menjelaskan, tindakan beliau itu adalah untuk mempertahankan dirinya yang sering direman selepas diikat jamin.

Selain meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan yang memerintah, Jamal meminta agar mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan harus digunakan sebaiknya bukan untuk membalas dendam terhadap musuh politik.

Waran Tangkap Jamal Yunos Dikeluarkan

Sehingga kini, Jamal masih belum berjaya dikesan. Pihak polis kini giat memburunya dan waran tangkap telahpun dikeluarkan kerana kedegilannya gagal untuk menyerah diri.


Jamal telah diberikan masa yang secukupnya dan diminta untuk menyerah diri bagi membantu siasatan atas kes yang dilaporkan terhadapnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Namun beliau tetap gagal (serah diri) dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan keselamatan diri beliau terancam," kata KPN.

KPN meminta agar pihak yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Jamal tampil membantu siasatan dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Jamal disenaraihitam

Sementara itu, nama Jamal sudah disenaraihitam daripada ke luar negara kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Mustafar memberi jaminan, sehingga kini belum ada rekod Jamal ke luar negara berikutan tersebarnya ura-ura yang mengatakan Ketua Umno Sungai Besar itu sudah melarikan diri ke negara jiran, Indonesia.

Jamal didakwa atas beberapa pertuduhan

Waran Tangkap Jamal Yunos Dikeluarkan

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas beliau memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Jamal juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Beliau didakwa minggu lalu ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri ekoran sakit belakang, tetapi menghilangkan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Muncul semula dua hari kemudian, beliau menafikan melarikan diri dan berkata hanya ke Lembaga Tabung Haji untuk mengeluarkan wang bagi menanggung kos ikat jamin dan kesnya.

Dalam kenyataan media Selasa lalu, beliau berjanji akan menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya keesokannya, tetapi gagal berbuat demikian.

Sebaliknya beliau muncul dalam rakaman video di sebuah ladang kelapa sawit di lokasi yang tidak diketahui, antaranya mendakwa keselamatannya terancam dan menuduh kerajaan menjadikannya sebagai mangsa.

Video Jamal Yunos dalam ladang kelapa sawit


Sumber: Hmetro

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.